Saturday, January 22, 2011

Susahnya Hidup Ini 2

Maka namanya Mak Ani. Rata rata orang yang lalu lalang saban hari di simpang Jalan Uganda, Jalan Kg Jawa dekat Masjid tok Dagang kenal dia. Bukan kerana dia tokoh korporat, ataupun kerana keturunan tok ketua situ, seadanya ramai orang konfius. Bingung. Sama bingungnya bila memikirkan kelakuan arwah Ustaz Rasyid yang mendiami masjid –tak pernah mandi bertahun tahun, tabur duit kat kubur tetapi amat-amat mahir ilmu bahasa arab dan rajin membaca. Malah amat cermat dengan tatatertib ilmu yang diperolehinya. Yalah, nasib badan.

Sekali pandang Mak Ani kurang siuman. Katanya dia jadi begitu selepas keguguran. Amat sulit memahami jatuh duduk perkataannya. Dengan tiba-tiba dia boleh menempelak sesiapa yang mengusiknya. Malah khabarnya dia pernah meluru dan memarahi jemaah ke dalam Masjid ketika khutbah jumaat! Cukup lantang, cukup lancang tak kira orang!

Selalunya, berpeleseran di sepanjang jalan, memanggil orang yang lalu –lalang, dia mintak duit pada sesiapa sahaja. Terkadang beliau menghulurkan kembali, semacam baki dari membeli, semacam ada tukaran.

Ditakdirkan, satu hari raya tahun-tahun sudah. Tahun yang seorang manusia sedang menghiba dihimpit dengan kesempitan bertimpa. Bertembung dengan Mak Ani, duduk di tembok batu mengipas duit. Dia tidak ambil pusing sebenarnya. Dia sedang bergelut dengan perasaan.

            “aku ada duit! Aku ada duit!”  Mak Ani bernyanyi kecil.

            “Hei ngkau! Kau ndak ni kan?” Hulurnya.

Manusia itu menggeleng hambar. Senyumnya tawar. Dia masih berkira-kira dengan tekanan perasaannya. Dia bukan pengemis, hanya meminta pakai duit anaknya barang sehari dua. Duitnya kira habis. Habis kerana biaya kos baiki keretanya rosak mendadak semasa balik ziarah keluarga. Habis simpanan tahunan niaganya. Habis simpanan usaha tulang 4 kerat dari awal 10 pagi santak lewat jam 2 pagi esoknya selama setahun.  Perkara yang sama seperti tahun sudahnya!

Cuma baki ada cukup-cukup buat rolling. Ndak pinjam 10 ringgit buat belanja poket. Duit rokok.Tapi isterinya tak bagi. Takut kalau habis belanja dan tak pulangkan balik. Anak nak naik sekolah tak lama lagi!

Walaupun dia rasa sangat jauh hati, dia melihat Mak Ani lebih kasihan. Sekurangnya dia ada kerja walaupun purata 400 sebulan. Sedangkan Mak Ani kelihatan gelandangan. Mak Ani cakap sorang-sorang. Dia masih ada pelanggan gerainya. Dia masih ada masyarakat dan keluarga untuk bercerita dan mengadu tak kiralah mereka dengar atau menolak. 

Mak Ani dunianya terasing!

Tiba-tiba Mak Ani bangkit meluru kepadanya! Hah! ... pulak ni? Sepantas mungkin Mak Ani campakkan duit 10 ringgit. Berdiri disisi proton cabuknya. Tersenyum dan melambai.

            “Ambiklah! Ambiklah!, banyak-banyaklah engkau bertasbih memuji akan Allah!” Diikuti dengan senyuman lagi sambil melagu-lagukan selawat dan salam keatas Nabi. Berdoa dan senyum. Selawat, dan selawat…

Lampu trafik pun hijau. Manusia tadi tergamam , terpaku terpaksa juga bergerak menuju ke pasar borong.

Dia pernah ditendang di kerongkongnya lalu pitam. Dia pernah merempuh kereta buat U-turn haram dengan motorsikal, hingga pecah buku lali. Dia pernah jatuh kedalam longkang besar dengan motor cabuknya- kakinya di atas handel, dan mukanya , tangannya terseret di dinding longkang. Sakitnya alang kepalang. Tetapi perbuatan Mak Ani jauh lebih menusuk tajamnya. Nasihatnya tembus menempelak kebodohannya. Bodoh kerana menyangka Mak Ani orang kurang siuman! Bodoh dengan bersangka buruk terhadap ciptaan Allah!

            “ Ya Allah…Ya Allah…inilah sepuluh ringgit….” Dia menangis teresak, sedak dan sedu yang sangat  berat. Menangis dan menangis, menangis yang tidak terpuaskan.

Disaat itu, ketika mana semua manusia yang dibaca siuman menyepi tertutup , saudara mara, sahabat handai ditelek tidak peduli, maka Allah telah menegurnya, menegur kerana miskin sangkaannya. Bukan 10 ringgit itu, bukan!

 Tetapi nasihat .

Dan lidah itu menutur nasihat yang benar! Wasiat para Nabi.


1 comment: