Thursday, July 29, 2010

skala

Ada apa dengan skala. Ini bukan soal sekali-sekala. Tetapi memadailah dalam satu ringkasan ~ skala merupakan cerminan kepada ukuran, sukatan, saiz dan kesesuaian mengikut kadar kepada keperluan. Ia boleh dipanjangkan merangkumi kehendak namun kehendak bersifat melangkaui batasan keupayaan.


Sentuhan kali ini untuk mengingatkan bahawa dalam banyak soal usaha dan perusahaan dalam penghasilan dan dagangan orang rumpun melayu terlabel terkedunya, perlu dirawat. Terkedu beerti terkulai, bermaksud terhenti dipertengahan, lemah dalam keberhasilan, tidak mencapai peringkat daya saing tahap daya tanding.

Apabila orang kita bertani –bertanam, menternak dan memukat ; apabila orang kita memproses dan menghasil produk; apabila orang kita berjualbeli – didalam tanah air sendiri kita masih seperti terkapai kapai umpama rumput dicelah lalang. Anda tidak setuju? Tolong tutup saja mukasurat ini dari pandangan anda dan beralihlah kepada perkara yang menyenangkan anda!


SKALA! Perspektif utama mengenai skala adalah keupayaan membuat perbandingan. Keupayaan menegnalpasti ciri-ciri bagi pengushaan. Langkah seterusnya pula adalah keupayaan membuat keputusan yang bertepatan. Baiklah, ibarat tangki minyak bagi sebuah motokar, lebih besar tangkinya maka lebih jauh keupayaan perjalanan motokar tersebut. Tetapi itu juga berarti motokar itu memerlukan mesin yang lebih kuasa kudanya kerana ia perlu berupaya menampung beban berat tangki dan muatannya. Sebaliknya tangki kecil pula membataskan keupayaan jarak dan membolehkan mesin berkuasa kuda yang lebih rendah untuk mengendalikan beban atas motokar. Begitulah contoh dalam membuat perbandingan. Setiap pengushaan wajar mengenali gambaran sebenar tentang kemampuannya .


Apakah kita selama ini tidak berpandukan gambaran yang benar, sedangkan kerajaan sendiri telah ‘turun’ menyalurkan pelbagai bantuan? Soalan ini amat tegar! Maka hanya boleh dikiaskan sahaja jawapan untuknya. Kiranya gambaran itu cukup kandungan kebenarannya, cukup amanahnya masakan kedudukan kita masih sebegini lesu dan layu! Kita sentuh lebih dekat lagi.


Dalam bidang pertanian, apakah skala ladang yang sesuai bagi tanaman jagung? Bagaimanakah negara yang menjadi pengeluar jagung utama dunia mengusahakan tanaman tersebut. Berapakah kos pengeluaran bagi setiap kilogram diladang? Carilah! Dengan kaedah apa, sistem apa yang digunapakai sehingga mencapai skala jumlah ekonomis tu. Maka bandingkan . Apakah tuan mampu menghampiri kos pengeluaran tersebut? Ya kita masih boleh mengeluarkan jagung. Berdaya tanding dan berdaya saingkah kita?


Dalam bidang penternakan pula, sila kaji tentang hal bekalan feed, iaitu pemakanan bagi ternakan. Ini adalah masalah yang sangat kronik dan kritikal yang selama ini tidak dirawat! Belum pernah lagi kita temukan pengusaha secara ‘volume’ hatta pengusaha kecil yang berjaya yang menghasilkan bekalan feednya sendiri secara konsisten. Berani saya katakan 99.9% bergantung pada bekalan import yang merupakan lebihan dari apa yang diusahakan oleh mereka yang telah matang tentang skala.Ya kita masih boleh mengeluarkan ternakan. Berdaya tanding dan berdaya saingkah kita?


Semoga rencana ini dapat membuka pandangan, dapat merobos minda pembaca sekelian, walaupun sekadar pandangan yang tercicir. Renung dan kaji dalam bidang perniagaan pula~ dimanakah realiti kefahaman kita tentang SKALA. Sudah dapat melihat gambaran yang sebenar?